Kamis, 08 April 2010

Ilmu Dunia vs Ilmu Agama

Bismillahirrahmanirrahim...

"A'uzubillahiminashshaithaanirrajimm..." Khalifah menguap sambil tangan kanan menutup mulutnya.


Dipalingkan wajahnya ke arah 'Abid yang sedang tekun mengulangkaji pelajaran. Dia tersenyum melihat 'Abid. Sesekali 'Abid memejamkan matanya sambil mulutnya terkumat kamit menghafal sesuatu. Khalifah kembali memandang bukunya yang sudah berwarna dengan bermacam warna
highlighter.

"Bismillahirrahmanirrahim..." kata Khalifah lalu menyambung mujahadahnya.


***********************************************************************************


"Tekun benar aku tengok kau
study tadi. Aku dah siap menguap-nguap tengok buku. Kau, aku tengok steady saja. Bagilah tips sikit," tegur Khalifah kepada 'Abid.

'Abid sibuk mengemas buku-bukunya yang bersepah di atas meja.


"Tak ada
tips apa pun, Khalifah. Aku hanya menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang pelajar saja," jawab 'Abid sambil tangannya mencapai pen-pen di atas meja lalu disimpan ke dalam begnya.

Khalifah hanya berdiri di sisi 'Abid, melihat sahaja sahabatnya mengemas barang.


"Okey, dah. Jom kita balik, Khalifah!" ajak 'Abid sambil memandang Khalifah dan menyandang begnya.


'Abid menyentuh bahu Khalifah dan mereka berjalan keluar dari perpustakaan itu.


"'Abid, jawablah soalan aku tadi," ujar Khalifah yang tidak lekang dari senyuman.


"Hahaha. Nak jawab apa, Khalifah?" 'Abid ketawa kecil.


"Soalan aku tadilah. Macam mana kau boleh begitu fokus dalam belajar. Tak macam aku. Hanya bila nak sediakan bahan usrah saja aku bersemangat, bila dengar ceramah agama saja aku bersemangat, bila nak
plan program agama saja aku bersemangat tapi bila belajar ilmu dunia ni, aku cepat sangat mengantuk, hilang semangat," terang Khalifah.

'Abid mendengar sahaja luahan hati sahabatnya itu. Dia berhenti lalu berkata, "Kejap, Khalifah. Kita
stop sini sekejap."

Khalifah memandang 'Abid. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket
overcoat hitamnya, menahan sejuk.

"Entahlah, Khalifah. Secara jujurnya aku katakan, aku pun macam kau juga. Bila pasal agama, aku jadi semangat. Tapi bila datang masa untuk belajar ilmu medik ni, aku jadi malas. Aku pun rasa macam tu. Cuma satu saja yang aku fikir. Ilmu dunia atau pun ilmu akhirat, dua-dua pun ilmu Allah. Jika kita belajar salah satu daripadanya, kita akan mendapat pahala. Kalau belajar kedua-duanya pun dapat pahala," terang 'Abid.


"Aku pelik, kenapa kita perlu pisahkan antara ilmu medik dengan ilmu agama? Maksud aku, jika kita betul-betul faham Islam, apa saja yang kita buat,
as long as menepati syara', ianya adalah ibadah. Aku fikir macam ni saja, masa aku belajar medik ni, Allah ambil kira pahala mujahadah aku, insyaAllah. Aku harapkan redha Allah saja masa belajar tu. Biarlah aku ngantuk ke, penat ke, tak apa sebab aku tau, Allah tengok aku dan Allah ada CCTV. Allah rakam setiap apa yang aku buat untuk menjadi bukti di akhirat nanti. Supaya nanti Allah akan kata bahawa aku telah melaksanakan tanggungjawab aku sebagai pelajar dan bukan semata-mata sebagai dai'e," sambung 'Abid lagi.

"Lagi satu yang aku fikir adalah aku nak jadi orang Islam yang hebat. Bukan setakat hebat dalam berdakwah tapi juga hebat dalam bidang yang aku ceburi. Contohnya macam Abdul 'Aziz ar-Rantisi. Beliau syahid di jalan Allah tapi di dunia, beliau adalah antara orang yang hebat. Beliau adalah
parasitologist," ujar 'Abid.

Khalifah tersenyum mendengar penjelasan 'Abid. Sesekali dikeluarkan tangannya dari poket baju dan ditiup udara dari mulutnya ke tangan untuk memanaskan tangannya yang kesejukan.


'Abid melihat gelagat sahabatnya itu.


"Kau tak bawa sarung tangan?" tanya 'Abid.


Khalifah menggelengkan kepala, "Lupa."


'Abid tersenyum tatkala sabahatnya itu menggigil kesejukan.


"Lain kali, buat
reminder dalam telefon bimbit tu. Kesian aku tengok kau," ujar 'Abid sambil ditanggalkan sebelah sarung tangannya.

"Nah," dihulurkan sarung tangan itu kepada sahabatnya.


Khalifah memandang 'Abid.


'Abid tersenyum, "Tak payah nak malu dengan aku. Biar kita sama-sama rasakan kesejukan ni. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pakailah sebelah ni."


Khalifah mengambilnya lalu menyarungkan ke tangan kanannya.


"Jazakallah, ya akhi." ucap Khalifah.


"Kau sahabat aku. Kalau kau susah, aku pun susah. Kalau kau bahagia, aku pun bahagia. Kalau kau sejuk, aku pun sejuk," kata 'Abid lalu berjalan menuju ke perhentian bas.


Khalifah tercegat memandang 'Abid.


'Abid menoleh ke belakang, "Apa yang kau menungkan tu? Jomlah. Kejap lagi bas sampai. Sejuk ni."


Khalifah senyum. Dia pun berlari-lari anak menuju ke arah 'Abid yang menunggunya.


"Kau bukan saja seorang pelajar yang baik tapi juga sahabat yang memahami," bisik Khalifah kepada 'Abid.


'Ikhlaskan diri hanya untuk Illahi, bersungguh-sungguh demi Islam ini.'

Posting Komentar